About Me

My photo

Wandering across continents with four rugrats in tow. Rediscovering myself through crochet, sewing, baking, cooking and smothering my family with lots of love!

Sunday, July 27, 2014

Kuih Raya Ekspress: Cornflakes Madu



Saya. Suka. Cornflake. Madu. Kenapa saya suka? Sebab kuih raya ini merupakan kuih yang sangat senang untuk dibuat. Saya juga menggelarkan kuih ini 'kuih raya ekspress'. Ini kerana, kuih ini sangat mudah, saya selalunya buat pada malam raya. Kalau nak lebih ekstrem, pada hari raya pun mungkin sempat buat lagi...hehehe.

Bahan-bahan yang digunakan juga mudah untuk didapati. Kami yang jauh di Dakar, Senegal ni pun masih boleh beli di kedai. 

Satu lagi sebab saya sangat suka kuih ini adalah kerana cara-cara membuatnya juga mudah (dah tiga kali saya kata mudah, kan?). Jadi bolehlah saya kerahkan pembantu-pembantu saya yang berusia 5 dan 7 tahun untuk sama-sama ke dapur.

Resepi Cornflakes Madu

Bahan-bahan

200g cornflakes
6 sudu besar madu
3 sudu besar gula
100g butter
Chocolate rice

Cara-cara

1. Panaskan Oven 150 darjah Celcius.

2. Ramas cornflakes dengan tangan, ketepikan seketika.

3. Panaskan butter di dalam kuali.

4. Satukan madu dan gula bersama butter dan masakkan seketika di dalam kuali sehingga gula dan madu masak sebati.

5. Setelah bahan sebati, tuangkan adunan tadi kedalam bekas yang berisi cornflakes dan kacau rata. Jika berminat nak tambah raisin atau kuaci bolehlah masukkan sekarang. Kacau sehingga adunan sebati.

6. Sudukan cornflakes ke dalam bekas papercup dan taburkan chocolate rice.

7. Bakar selama 10 minit.

Friday, July 25, 2014

Juadah Ramadan: Bihun Goreng

Hujung-hujung Ramadan ni, mula la tekak ni dah tak tau nak makan apa. Badan mula terasa penat... penat nak masak.

Tekak pula dah tak lalu nak telan nasi. Kalau nak makan nasi pun, nak lauk yang kering-kering dan pedas. Macam sambal goreng, sambal ikan bilis atau sambal ikan. \

Tapi kalau tiap-tiap hari nak makan sambal, mau sakit perut jadinya.

Oleh sebab itu, semalam kami berbuka dengan bihun goreng simple je.


Bihun goreng di rumah ni, wajib ada sayur carrot dan tomato. Itu kegemaran Aira. Kalau ikutkan Aira, dia suka kalau bihun ada sayur sawi. Tapi sedihnya, di Dakar ni saya tak pernah jumpa sayur sawi. Kesian Aira, lama dah tak dapat makan sawi.

Selain sayur, bihun goreng saya wajib ada daging. Anak-anak saya panggil daging ni chewing gum...seronok mengunyah agaknya.  : )

Nampaknya, lebih isi daripada bihun...hehe.

Untuk saya pula, wajib ada cili api potong dengan kicap. Maklumlah, bihun goreng ni tak boleh rasa pedas langsung. Aisya tak boleh makan kalau pedas. Oleh sebab itu, untuk mendapatkan rasa pedas di tekak saya, cili api potong menjadi teman bihun goreng saya.


Bon Appetit!

Tuesday, July 22, 2014

The Magic of Noxxa Pressure Cooker: Pulut Kuning Ekspress

Saya ingin berkongsi dengan semua macam mana saya masak pulut kuning.

Saya menggunakan periuk pressure cooker serbaguna Noxxa. Saya pernah bercerita tentang periuk serbaguna ini dalam post terdahulu. Pressure Cooker Serbaguna.

Dalam rumah ini, pulut memang menjadi kegemaran semua. Dari papa sampai ke anak-anak. Memang berebut-rebut kalau makan pulut.

Anak-anak suka sangat makan pulut dengan rendang, papa pula suka makan pulut dengan kari.

Untuk memasak Pulut Kuning Ekspress ini, kita tak perlu susah-susah rendam pulut semalaman. Kalau ikut cara ini, kita hanya perlu rendam pulut sekejap sahaja; cuma 20 minit.

Mari kita tengok cara-cara memasak Pulut Kuning Ekspress.

Pulut Kuning Ekspress

Bahan-bahan

Beras pulut
Serbuk kunyit
Asam keping
Daun pandan
Sedikit santan pekat
Sedikit garam

Cara-cara Memasak Pulut Kuning Ekspress

1. Rendam beras pulut bersama sedikit serbuk kunyit dan sekeping asam keping selama 20 minit.



2. Selepas 20 minit, buang air rendaman dan asam keping. Cuci lebihan serbuk kunyit pada pulut dengan air dan toskan.

3. Masukkan beras pulut ke dalam periuk Pressure Cooker Noxxa bersama sekeping daun pandan.

4. Masukkan air ke dalam periuk tadi sehingga paras beras pulut sahaja. Jangan lebih atau kurang.

(maaf, gambar tak berapa nak jelas)

5. Setkan periuk pressure cooker Noxxa kepada high pressure 2 minit. Jangan lupa untuk pusingkan tombol pressure valve atas penutup periuk kepada tanda Pressure.

6. Selepas Periuk Pressure Cooker berbunyi tanda beras pulut telah masak, pusingkan tombol pressure valve atas penutup periuk untuk mengeluarkan angin pressure. Setelah habis semua angin pressure keluar, barulah buka penutup periuk.




7. Kacau pulut tadi dan tuangkan santan yang telah dicampur dengan sedikit garam dan kacau rata.
*(Tutup semula tudung periuk dan biarkan seketika periuk yang masih ON untuk masakkan santan tadi.)


* Selepas memasak pulut beberapa kali menggunakan periuk noxxa, Saya dapati teknik baru supaya pulut lebih kembang dan masak cantik.

*Cara Altenatif untuk langkah ke-7. Selepas masukkan santan, tekan butang off dan kacau pulut. Tunggu sebentar supaya periuk tidak terlalu panas dan penutup boleh ditutup. Tutup tudung periuk dan tukarkan tombol ke STEAM. Set kan periuk Noxxa STEAM 2 minit. Pusingkan tombol pressure valve untuk mengeluarkan angin pressure. Buka penutup dan kacau rata.


8. Setkan meja. Panggil papa dan anak-anak. Pulut kuning sedia untuk dinikmati. 

Selamat mencuba!

**Saya juga ada mengambil tempahan Cover Noxxa Pressure Cooker ini. Boleh buat tempahan di fb page Jahitbynadia. Sila Klik (DISINI)

Monday, July 14, 2014

The Magic of Noxxa Breadmaker: Kek Pisang Ekspress




Hari ini saya nak ajak kawan-kawan buat kek pisang ekspress. Kek pisang ekspress ini saya masak menggunakan bread maker kesayangan saya...Noxxa 3 in 1 Bread Maker. Saya pernah ceritakan tentang bread maker kesayangan saya dalam post INI (Breadmaker).

Kek pisang ini memang ekspress, kita hanya perlu campakkan semua bahan ke dalam bread maker and the magic begins!!

Kek pisang ekspress ini memang menjadi kegemaran saya semasa bulan puasa.... senang, cepat, dapur pun tak kotor. Tak perlu susah-susah nak membasuh banyak bekas. Apa yang perlu dibasuh hanyalah penyukat khas bread maker dan juga bekas kek.

Resepi untuk memasak kek pisang ini ada disediakan di dalam buku resepi Noxxa Bread Maker.

Apa yang saya suka pada rasa kek pisang ini adalah rasa masam-manis yang datang daripada pisang dan juga susu masam. Jarang resepi kek pisang yang saya jumpa menggunakan susu masam. Sebab itulah kek pisang ekspress ni saya rasa sangat sedap dan istimewa. Pertama kerana rasanya yang sedap dan kedua kerana ia sangat memudahkan kerja saya.

Cara membuat kek pisang ekspress.

1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas pengadun/pembakar menggunakan resepi yang disediakan oleh Noxxa Bread Maker.


2. Masukkan bekas pengadun/pembakar ke dalam oven.

3. Setkan oven mengikut resepi yang disediakan.


4. Tunggu kek di adun dan dibakar. Kek akan siap di bakar dalam masa 1 jam 15 minit.

5. Oven akan berbunyi menandakan kek sudah masak dan sedia di keluarkan daripada oven. Keluarkan bekas pengadun/pembakar kek dan biarkan sejuk sedikit. Bila kek sudah suam-suam, terbalikkan kek dan keluarkan kek dari bekas pengadun.


P/S: Kek akan berlubang sedikit di tengah bahagian bawah. Tak perlu risau, bila kek sudah dipotong kecil-kecil, lubang tadi tidak akan kelihatan lagi.

Mudah kan? Dapur pun tak kotor dan tak perlu banyak sangat membasuh bekas. Masa memasak kek pun jimat, boleh memasak juadah berbuka yang lain sambil masak kek.


Thursday, July 10, 2014

Aisya's 5th Birthday


Alhamdulillah, 30 Mei 2014 Aisya genap 5 tahun...Happy Birthday my Little Monster, I love you soooo much!! These last five years have flown by in the blink of an eye.

Tahun ni, 30 Mei jatuh pada hari Jumaat. Alhamdulillah, Aisya dapat sambut dengan kawan-kawan di sekolah.

Saya sediakan Chocolate Banana Cupcake untuk semua kawan-kawan kelas Aisya.



Aisya excited sangat dapat sambut birthday dengan kawan-kawan kat sekolah. Ye la, selama ni asyik sambut birthday orang jer...

Kebiasaannya di sekolah, mereka akan nanyikan lagu selamat hari jadi dalam 2 bahasa...English dan juga dalam French.



Kawan-kawan Aisya sedang menikmati cupcake mereka sambil makan snack yang dibawa dari rumah masing-masing.



Selain daripada cupcake, saya juga sediakan handmade crochet finger puppet untuk semua orang termasuk untuk cikgu Aisya. Gambar proses menyiapkan semua 15 fingger puppet ni saya ada kongsikan di dalam Instagram. Macam-macam bentuk haiwan, bunga dan kartun telah saya crochet. Akhir sekali, saya cucuk kan fingger puppet dengan Chupa Chups. Idea ini saya dapat daripada Pinterest.

( Aisya bergambar dengan kad birthday yang diberikan oleh guru kelas Aisya...Miss Linda dan Miss Stephanie)

Pada hari jadi Aisya yang ke 5 ini, mama nak mengingati apa yang Aisya suka pada saat ini....

1. When Aisya grows up Aisya wants to be a firefighter.

2. Aisya likes playing pretend with Kakak. 

3. Aisya boleh main seorang diri bersama semua mainan kecil (miniature). Aisya ada collection haiwan, lalaloopsy, smurf dan pelbagai karektor mainan miniature.

4. Aisya's favorite games are playdoh and barbie.

5. Aisya rajin tolong mama jaga Alya. Thank you Aisya...

6. Aisya suka makan sos tomato. Aisya boleh makan apa sahaja dengan sos tomato. Yang paling menarik, Aisya boleh cicah roti dengan sos tomato.

7. Aisya suka sangat makan spagetti bolognese dan fries.

8. Aisya suka warna biru dan pink.


Selain sambut birthday Aisya di sekolah, kami sambung sambutan harijadi si Little Monster ni di rumah pada malam itu.



Nyanyian lagu harijadi bersama dan bergambar bersama sekeluarga.

Walaupun sambutan yang sangat simple tapi Alhamdulillah Aisya happy.

Malam ni, Little Monster Aisya pakai bunga pink yang mama crochet.


Masa untuk funny faces, kegemaran Aisya..Aisya suka sangat kalau posing funny face, itu memang trademark Aisya.

Happy Birthday Aisya....

Semoga Aisya menjadi insan yang berguna, solehah dan sayangkan kami semua....

Tuesday, July 8, 2014

Juadah Ramadan: Puding Roti Lestari

Assalamualaikum semua... Selamat menjalani ibadah puasa.

Dalam bulan puasa ni rasanya makanan yang paling mendapat sambutan biasanya adalah manisan (dessert)

Dan sudah pasti, antara dessert yang paling popular biasanya adalah puding. Yela kan, puding yang sejuk memang sangat sedap dimakan sesudah seharian berpuasa.


Jadi, hari ini saya nak berkongsi cerita tentang puding roti kegemaran Encik Suami. Resepi asal adalah daripada Ibu Mertua tersayang.

Disebabkan Encik Suami ni suka sangat dengan puding ni, Ibu mertua saya terus ajarkan pada saya macam mana nak buat puding ini walaupun saya tak minta pun masa tu hehehe... Tapi, Alhamdulillah, saya tak menyesal belajar masak puding ini dari Ibu Mertua sebab saya pun suka sangat dengan puding roti ni.

Saya pernah mencuba puding roti menggunakan resepi lain, tapi puding roti Ibu Mertua saya ni memang tetap terbaik bagi saya. Puding roti ini tak muak dan kalau dah start makan memang susah nak berhenti... :-)

Semenjak saya upload gambar puding roti saya dalam Instagram dan Facebook, banyak pula permintaan daripada rakan-rakan yang inginkan resepi puding ni.

Alhamdulillah, hari ini dapat saya berkongsi resepi Puding Roti Warna-Warni ni untuk tatapan kawan-kawan.

Resepi Puding Roti Warna-Warni

Bahan-bahan:

Roti putih 4-5 keping yang dibuang kulitnya.
1 paket agar-agar straw.
1 tin susu cair.
Gula pasir.
1 sudu besar tepung jagung.
1 biji telur.
1 biji oren Sunkist yang diambil jusnya.
3 Pewarna makanan yang berbeza (ikut kreativiti masing-masing).

Cara membuatnya:

1.Untuk memastikan masa memasak agar-agar tidak lama, rendamkan agar-agar selama 2-3 jam sebelum. Ini akan memendekkan masa memasak agar-agar.

2. Bahagikan agar-agar tadi kepada 2 bahagian yang sama rata. Masak satu bahagian agar-agar dengan air sebanyak 3 1/2 gelas (Lagi satu bahagian agar-agar biarkan direndam). Bila agar-agar sudah hancur, masukkan 10 sudu besar gula pasir. Masak agar-agar dan gula sehingga sebati. Bahagi kepada 3 bahagian agar-agar yang dimasak tadi dan titikkan 3 pewarna berbeza dan sejukkan dalam peti sejuk. Potong kecil-kecil agar-agar yang sudah keras (Biasanya saya buat step ini malam sebelumnya, tapi terpulang masing-masing).

3. Sekarang masanya untuk masak agar-agar yang masih berendam dalam air tadi. Masakkan dengan 4 cawan air. Apabila agar-agar sudah hancur masukkan 11 sudu gula.

4. Sambil menunggu agar-agar masak, rendamkan roti dengan susu cair dan hancurkan menggunakan garpu di dalam mangkuk.

5. Pecahkan telur dan tapis masukkan ke dalam roti yang sudah hancur tadi.

6. Masukkan jus sunkist ke dalam roti dan telur tadi.

7. Apabila agar-agar sudah sebati bersama gula, masukkan roti hancur tadi dan kacau rata. Perlahankan api kepada api sederhana.

8. Campurkan tepung jagung dengan sedikit air dan masukkan ke dalam agar-agar dan kacau rata. Biarkan seketika. Bila sudah sebati tutup api dan alihkan daripada dapur.

9. Ambil bekas yang sesuai, taburkan agar-agar warna-warni yang telah dipotong kecil dan selangkan dengan agar-agar roti. Lakukan langkah ini sehingga agar-agar roti habis (agar-agar warna-warni diselang-selikan dengan agar-agar roti).

10. Sejukkan di dalam peti sejuk.


Selamat Mencuba...

Sharing is Caring!!



Wednesday, July 2, 2014

Kuih Seri Muka

Salam Ramadhan buat semua..Selamat menjalani ibadah puasa dan Selamat beramal di bulan Ramadhan!
Mohon maaf zahir batin dunia akhirat. Semoga ibadah kita di terima di sisi Allah.

Hari ini saya nak berkongsi resepi kuih kegemaran keluarga saya..Kuih Seri Muka. Cepat dan mudah (trust me).

Sejak kami berpindah ke Dakar ni terasa suka sangat buat kuih seri muka. Kuih ni pun sudah menjadi kuih kegemaran Aira dan Aisya selain daripada kuih lapis. Kalau buat kuih seri muka ni memang cepat habis, kadang-kadang sampai berebut-rebut.


KUIH SERI MUKA

Ada dua bahagian yang perlu kita sediakan untuk membuat kuih seri muka iaitu bahagian bawah dan bahagian atas:

BAHAGIAN BAWAH

Bahan-bahan

2 cawan beras pulut direndam (tapi kadang-kadang kalau nak cepat saya tak rendam pun...hehehe)
2 cawan santan cair
1 sudu teh garam
2 sudu teh minyak masak

Untuk menyukat, gunakan cawan yang sama untuk semua bahan. Saya biasanya gunakan penyukat beras.


Cawan yang saya gunakan untuk menyukat bahan-bahan.


Saya gunakan PERIUK NASI saya untuk mengukus dan timer telur pemberian Kak Junaidah (masa di Bahrain) untuk memastikan kuih seri muka saya menjadi.

Cara membuat

1. Sapukan minyak pada loyang.
2. Masukkan santan dan pulut ke dalam loyang (pastikan santan dan pulut pada paras yang sama).
3. Kukus selama 25 minit.
4. Setelah masak, mampatkan pulut dan kukus semula untuk 15 minit.


BAHAGIAN ATAS

Bahan-bahan

2 cawan santan pekat
150 ml air dan 15 helai daun pandan yang diblend dan ditapis.
1 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu besar tepung jagung
3/4 cawan gula pasir (kalau nak manis boleh guna 1 cawan gula).
1 biji telur ayam
1/2 sudu teh garam
Sedikit pewarna hijau


Blend daun pandan dengan 150ml air dan tapis.

Sila gunakan air pandan yang ditapis, bukan daun pandan tu tau (pengalaman sendiri masa pertama kali buat ...hahaha).

Cara-cara membuat

1. Masukkan semua bahan lapisan atas tadi ke dalam mangkuk dan kacau rata.


2. Setelah rata, tapiskan adunan tadi dan tuang ke atas pulut yang telah dikukus tadi.
3. Untuk hasil yang lebih cantik, tutup loyang dengan foil untuk mengelakkan air kukusan masuk ke dalam loyang. 
4. Kukus selama 1/2 jam.


Selesai sudah!!
Bon appetit !!

Selamat Berbuka Puasa!!