Monday, July 27, 2015

Projek "Charity Shorts and Skirts"

Assalamualaikum,

Pada post yang lepas (Juadah Ramadan : Puding Jagung), saya ada menceritakan tentang projek bulan Ramadhan bersama Aira dan Aisya. Projek "Charity Shorts and Skirts for the Homeless". Idea asalnya adalah daripada Aira.

Sejak datang ke Senegal, Aira dan Aisya lebih prihatin dengan nasib orang-orang yang kurang bernasib baik. Berbeza dari persekitaran yang selesa dan cantik di Bahrain, persekitaran di Dakar, Senegal jauh lebih daif. Kos hidup di sini amat tinggi. Kadar penganguran pula mencecah hampir 50 peratus.

Aira dan Aisya cukup terkesan dengan persekitaran ini. Setiap kali keluar rumah memang akan nampak ramai kanak-kanak kecil yang berkeliaran. Ada yang minta sedekah dan ada yang bermain di tepi-tepi jalan menemani ibu dan bapa mereka bekerja. Kanak-kanak ni pakaian mereka selalunya buruk, kotor dan mereka selalunya berhingus.

Aira selalu nampak saya menjahit baju-baju untuk Aira dan adik-adik. Oleh itu, dia ingin buatkan sesuatu untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini. Untuk menyokong idea Aira, saya pun selongkar semua koleksi pattern yang saya ada. Saya cuba untuk mencari pattern yang mudah supaya kami dapat buat sesuatu dengan cepat dan kuantiti yang banyak sebelum Hari Raya Aidilfitri. Pattern yang saya pilih juga perlulah sesuai untuk Aira dan Aisya bantu. Oleh itu, saya pilih pattern Basic Pants dan Simple Skirt daripada blog Dana.



Skirt yang telah siap.



Seluar- seluar yang telah siap.

Aira dan Aisya membantu saya untuk menggunting pattern pada kertas dan lekatkan pattern, gunting getah dan juga gunting label. Dan sudah pastinya tugas Mama adalah untuk menjahit semua seluar-seluar dan skirt. Ini adalah pertama kali saya menjahit sesuatu dalam jumlah yang banyak. Disebabkan tak biasa, saya terpaksa memakai mask menutup hidung kerana hidung saya mula untuk merasa gatal-gatal kerana habuk kain yang banyak. Fuhhhh!! Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan 14 skirt dan 11 seluar sebelum Aidilfitri.


Aira membantu untuk memasukkan getah ke dalam seluar dan Aisya pula bantu saya untuk menajamkan jarum peniti supaya mudah untuk digunakan.


Seluar dan skirt yang sedia untuk dihantar kepada orang-orang miskin di sekitar rumah kami.


Meskipun negara tempat kerja Encik Suami kali ini tidak seindah tempat sebelum ini, namun saya sangat bersyukur dengan kesempatan yang dikurniakan oleh Allah. Anak-anak saya dapat belajar bahawa hidup ini tidak sama rata. Namun ini adalah supaya kita sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. 

Semoga Aira dan Aisya akan terus menjadi anak-anak yang sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Amiin.

No comments:

Post a Comment