Monday, September 8, 2014

Lawatan ke Harry Porter Studio

Semasa kami di Kota London, kami sempat melawat ke Studio Harry Porter yang terletak di Watford.


Aira sudah terjebak dengan Harry Porter, tidak kira sama ada membaca buku ataupun menonton filem. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk melawat dan melihat sendiri studio Harry Porter ini.


Bukan sahaja Anak-anak suka, Papa dan Mama pun puas hati dapat pergi kesana. Kami dapat penjelasan dengan lebih mendalam tentang pengambaran cerita Harry Porter. Kami dapat melihat sendiri costume serta props yang digunakan untuk pengambaran. Aira juga dapat naik magic broom!



( Ada orang yang tak pernah tengok monopod ni..beria dorang suka siap ambil gambar monopod kami..hehe)

Hasil daripada lawatan ini, Aira dan Aisya juga dapat belajar sesuatu yang baru. Mereka dapat melihat sendiri bagaimana sesuatu yang berkualiti tinggi biasanya akan melibatkan proses yang rumit dan teliti. Malah apabila kami pulang ke Dakar dan menonton semula filem-filem Harry Potter, Aira nampak lebih fokus dan kritikal terhadap special effects yang mereka lihat dalam filem berbanding proses penggambaran yang dapat mereka saksikan di studio berkenaan.

(Enya dan Aira sempat posing dengan handmade magic wand..thanks papa tolong buatkan wand ni)

Aira juga nampak berminat dengan pelbagai prospek kerjaya di belakang tabir (terlalu awal untuk fikirkan semua tu Aira!). Sebelum ini dia hanya nampak pelakon sahaja. Tapi sekarang Aira tahu yang pereka kostum, pereka grafik, juruaudio, jurugambar dan pelbagai lagi kerjaya di belakang tabir juga sangat penting untuk menghasilkan sesebuah filem.






(cop passport)





(I wish I have that magic knit!!..jarum knitting tu berpusing sendiri!!!, tau-tau dah siap dah blanket!! )

(Ada kelas belajar guna magic wand)






Flying car!!















Tuesday, September 2, 2014

Tips travel dengan anak kecil: Travel in pyjamas!

Assalamualaikum semua, hari ini saya nak berkongsi tips saya saya dapat daripada teman baik saya semasa di Bahrain. Saya sudah mencuba tips ini dan saya amat berpuas hati dengan hasilnya...Alhamdulillah.

Tips ini sesuai untuk penerbangan yang jauh dan mengambil masa yang lama dan waktu penerbangan adalah pada malam hari. Terutamanya bila waktu penerbangan yang mengganggu waktu tidur anak-anak.

Travel dengan baju tidur!!!


Tips ini untuk anak-anak je yer...bukan untuk orang dewasa!

Pada cuti sekolah musim panas yang lepas, kami sekeluarga bercuti di luar Senegal. Kami sekeluarga mengambil keputusan  untuk bercuti ke negara Eropah. Kami ke France dan juga UK. Waktu penerbangan kami adalah malam dan tempoh masa dari Dakar ke Paris adalah lebih kurang 6 jam.

Kalau di Bahrain dulu, saya akan pakaikan anak-anak saya dengan pakaian cantik (baju jalan) untuk ke airport dan bila betul-betul nak naik kapal terbang baru saya tukarkan baju tidur mereka.

Tapi di Dakar ni saya tukar sedikit cara saya. Mungkin sebab dah bertambah anak, saya tak nak kelam kabut, maka saya siapkan anak dara saya dengan baju tidur sejak dari rumah lagi. Lagipun, airport Dakar ni kecil sahaja, susah nak guna toilet untuk tukar baju.

Anak-anak lebih selesa bila berbaju tidur. Memandangkan waktu perjalanan dah clash dengan waktu tidur mereka, lebih baik saya biarkan mereka selesa tidur dengan baju tidur. Kalau takut sejuk, ibu-ibu jangan lupa pakaikan baju tidur yang tebal ataupun sediakan baju sejuk. Anak dara saya ni tahan sejuk.



Bila anak-anak selesa dan tidur nyenyak walaupun bertukar tempat (bukan di atas katil), mama dan papa pun bolehlah berehat dan tidur juga.

Kami tiba di Paris pagi pada jam 5.30 pagi. Kalau nak tukarkan baju anak dalam kapal terbang pun boleh, tapi disebabkan saya tak cukup tangan nak handle 3 orang anak, saya hanya tukarkan baju mereka bila sudah sampai airport dan tukarkan di toilet. Kawasan toilet lebih besar dan selesa, masing-masing bolehlah gosok gigi dengan tenang.




Wednesday, August 20, 2014

Tingkatkan Keyakinan Diri Anak (4): Ucapkan "I love you" pada anak


Assalamualaikum... Hari ini saya ingin berkongsi usaha saya untuk meningkatkan keyakinan diri anak saya. Saya masih lagi menggunakan panduan dari buku "Raise Your Child's Self-Esteem! 99 Easy Things To Do" oleh Nancy Krulik.





Dari 99 aktiviti yang boleh kita lakukan bersama anak yang ada dalam buku ni, hari ini saya ambil contoh aktiviti 1.


Tell your child you love him/her at least once a day.



Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya dari kecil lagi supaya mereka menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapa mereka kelak. 

Tak dapat dinafikan dalam kesibukan dengan urusan seharian di pejabat dan di rumah, kita seringkali terlupa untuk mengatakan "I love you" pada anak kita. Mungkin juga ada yang beranggapan, bahawa kita tak perlu ucapkan I love you pada anak-anak kerana dengan perbuatan mencium, memeluk dan sediakan makan, pakai seharian sudah cukup menyampaikan rasa sayang kita pada anak. Malah, mungkin juga ada yang berpendirian kata-kata ini akan menjadikan anak terlalu manja atau 'lembik'.

Tapi kita juga perlu prihatin yang anak-anak juga manusia berperasaan seperti kita. Mereka juga perlu diingatkan bahawa kita sayang sangat pada mereka. Memang benar dengan  hanya memberi coklat, gula-gula atau mainan sudah cukup untuk membuatkan mereka bahagia. Tapi kebiasaaannya pemberian material ini kesannya cuma sementara. Tapi dengan ucapan kasih sayang setiap hari, Insyaallah dapat  memberi impak yang lebih mendalam dan berpanjangan buat mereka. Dengan ucapan sayang pada anak-anak dapat meyakinkan mereka bahawa mereka disayangi. Dengan cara ini, akan meyakinkan anak bahawa mereka disayangi dan dapat menghindarkan mereka dari pergaulan yang salah.

Malah, ada pepatah yang mengatakan 'you can't spread love without getting some on yourself''.  Kesan perkataan 'I love you' itu juga sebenarnya akan membahagiakan kita juga sebagai ibu bapa.  


I LOVE YOU AIRA AND AISYA 
(dan Alya....walaupun dia tak faham lagi...hehehe)

Saya cuba untuk mempraktikkan amalan ini kepada anak-anak saya. Saya pastikan saya akan ucapkan perasaan sayang dan kasih saya pada mereka setiap hari dan Alhamdulillah saya nampak hasilnya.

Hampir beberapa kali dalam sehari saya akan dapat ucapan "I Love You, Mama" oleh Aira dan Aisya" dengan dikuti ciuman dan pelukan oleh mereka. Walaupun selepas saya marah, mereka akan terus berlari dan memeluk cium sambil katakan "I Love you, Mama".

Kadang-kadang, saya juga berikan nota cinta saya pada Aira di sekolah. Saya akan letakkan love note saya dalam lunch bag Aira sebagai surprise di sekolah. Love note yang saya tulis simple sahaja, cuma tulis I Love You  from Mama di atas kertas kecil. Tetapi dengan langkah mudah ni sahaja, saya akan dapat balik beberapa keping love note dari Aira dan Aisya...




Kesimpulanya tidak rugi untuk kita sampaikan rasa sayang pada anak-anak. Jangan pernah berhenti mengekspresikan rasa sayang pada anak. Dengan ucapan ringkas I love you yang tak sampai satu minit dalam sehari dapat mengubah dan membentuk diri anak-anak...InsyaAllah...

P/S: InsyaAllah saya akan kongsikan pengalaman saya dalam meningkatkan keyakinan diri anak saya setiap bulan.. Please come back for more info.. :-)

Tingkatkan Keyakinan Diri Anak (3): Great! Great! Great!
Tingkatkan Keyakinan Diri Anak (2): Membuat kertas pembalut sendiri
Tingkatkan Keyakinan Diri Anak : Mengubah "I can't" into "I can"


Monday, August 11, 2014

Juadah Syawal: Nasi Pilaf / Pilau / Pulao

Rasanya belum terlambat lagi saya nak mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kawan-kawan semua..Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dari saya sekeluarga.

Raya kami di Dakar tahun ni disambut secara sederhana sahaja. Untuk jamuan raya di rumah kami tahun ini , saya masak Nasi Pilaf, Roti Jala dan Spaghetti Carbonara.

Dulu masa di Bahrain, saya selalu makan Nasi Pilaf ini, tapi tak pernah pun terfikir nak masak sendiri. Mungkin sebab selalu dapat. Ada je yang rajin nak masakkan.

Nasi Pilaf juga dikenali sebagai Nasi Pilau ataupun Nasi Pulao. Jom kita tengok resepi!

Resepi asal saya dapat daripada Iza Akma Singgahsana Kitchen. Resepi asal menggunakan 2 kilo beras. Namun saya buat sedikit pengubahsuaian mengikut teknik menyukat yang biasa saya gunakan di rumah iaitu dengan menggunakan cawan beras.

Untuk sukatan air pula, saya gunakan teknik yang saya belajar daripada kawan-kawan di Bahrain dahulu. Satu cawan beras akan dimasak dengan satu setengah cawan air. Cawan yang saya gunakan adalah cawan yang sama untuk memasak Kuih Seri Muka.


Nasi Pilaf / Nasi Pilau / Nasi Pulao

Bahan-bahan

5 cawan beras basmathi dicuci bersih dan direndam selama 1/2 jam
1/2 ketul butter
1 batang kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
4 biji bunga cengkih
3 helai daun pandan, disiat dan disimpul
1 biji bawang besar dicincang halus
Air secukupnya
Sedikit garam
Safron ( kalau tak ada pun tak apa, safron hanya untuk warna kuning sahaja )
Segenggam daun ketumbar
Segenggam daun pudina
Segenggam bawang goreng
Segenggam kismis kuning (kali ini saya tak gunakan kismis kerana kehabisan kismis)

Cara-cara memasak

1. Toskan beras yang telah direndam sehingga kering airnya.

2. Panaskan periuk ( saya gunakan periuk Noxxa Pressure Cooker - "On" Stir Fry) dan cairkan butter.

3. Masukkan kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih dan gaul rata.

4. Masukkan pula bawang besar dan gaul sehingga tumisan menjadi wangi.

5. Masukkan beras ( gaul perlahan supaya beras tidak hancur, lebih baik gunakan garfu kayu yang besar. gorengkan sebentar beras ini dengan teknik clockwise sehingga butter tadi sebati dengan beras. Teknik ini akan menjadikan nasi berderai dan tidak melekat-lekat ).

6. Masukkan air dan garam. Untuk beras 5 cawan, saya masak bersama 7 1/2 sukatan air.

7. Taburkan Safron ( optional ).

8. Kecilkan api dan tutup periuk.

* Jika masak menggunakan Noxxa Pressure Cooker :

  • "Off" STIR FRY dan tutup penutup periuk.
  • "On" PRESSURE COOK selama 02 minit dan tukarkan tombol atas kepada pressure.
9. Apabila nasi sudah masak, tutup api dan taburkan segala daun-daun, kismis dan bawang goreng. Hidangkan bersama lauk kegemaran anda.


Selamat mencuba!










Sunday, July 27, 2014

Kuih Raya Ekspress: Cornflakes Madu



Saya. Suka. Cornflake. Madu. Kenapa saya suka? Sebab kuih raya ini merupakan kuih yang sangat senang untuk dibuat. Saya juga menggelarkan kuih ini 'kuih raya ekspress'. Ini kerana, kuih ini sangat mudah, saya selalunya buat pada malam raya. Kalau nak lebih ekstrem, pada hari raya pun mungkin sempat buat lagi...hehehe.

Bahan-bahan yang digunakan juga mudah untuk didapati. Kami yang jauh di Dakar, Senegal ni pun masih boleh beli di kedai. 

Satu lagi sebab saya sangat suka kuih ini adalah kerana cara-cara membuatnya juga mudah (dah tiga kali saya kata mudah, kan?). Jadi bolehlah saya kerahkan pembantu-pembantu saya yang berusia 5 dan 7 tahun untuk sama-sama ke dapur.

Resepi Cornflakes Madu

Bahan-bahan

200g cornflakes
6 sudu besar madu
3 sudu besar gula
100g butter
Chocolate rice

Cara-cara

1. Panaskan Oven 150 darjah Celcius.

2. Ramas cornflakes dengan tangan, ketepikan seketika.

3. Panaskan butter di dalam kuali.

4. Satukan madu dan gula bersama butter dan masakkan seketika di dalam kuali sehingga gula dan madu masak sebati.

5. Setelah bahan sebati, tuangkan adunan tadi kedalam bekas yang berisi cornflakes dan kacau rata. Jika berminat nak tambah raisin atau kuaci bolehlah masukkan sekarang. Kacau sehingga adunan sebati.

6. Sudukan cornflakes ke dalam bekas papercup dan taburkan chocolate rice.

7. Bakar selama 10 minit.

Friday, July 25, 2014

Juadah Ramadan: Bihun Goreng

Hujung-hujung Ramadan ni, mula la tekak ni dah tak tau nak makan apa. Badan mula terasa penat... penat nak masak.

Tekak pula dah tak lalu nak telan nasi. Kalau nak makan nasi pun, nak lauk yang kering-kering dan pedas. Macam sambal goreng, sambal ikan bilis atau sambal ikan. \

Tapi kalau tiap-tiap hari nak makan sambal, mau sakit perut jadinya.

Oleh sebab itu, semalam kami berbuka dengan bihun goreng simple je.


Bihun goreng di rumah ni, wajib ada sayur carrot dan tomato. Itu kegemaran Aira. Kalau ikutkan Aira, dia suka kalau bihun ada sayur sawi. Tapi sedihnya, di Dakar ni saya tak pernah jumpa sayur sawi. Kesian Aira, lama dah tak dapat makan sawi.

Selain sayur, bihun goreng saya wajib ada daging. Anak-anak saya panggil daging ni chewing gum...seronok mengunyah agaknya.  : )

Nampaknya, lebih isi daripada bihun...hehe.

Untuk saya pula, wajib ada cili api potong dengan kicap. Maklumlah, bihun goreng ni tak boleh rasa pedas langsung. Aisya tak boleh makan kalau pedas. Oleh sebab itu, untuk mendapatkan rasa pedas di tekak saya, cili api potong menjadi teman bihun goreng saya.


Bon Appetit!

Tuesday, July 22, 2014

The Magic of Noxxa Pressure Cooker: Pulut Kuning Ekspress

Saya ingin berkongsi dengan semua macam mana saya masak pulut kuning.

Saya menggunakan periuk pressure cooker serbaguna Noxxa. Saya pernah bercerita tentang periuk serbaguna ini dalam post terdahulu. Pressure Cooker Serbaguna.

Dalam rumah ini, pulut memang menjadi kegemaran semua. Dari papa sampai ke anak-anak. Memang berebut-rebut kalau makan pulut.

Anak-anak suka sangat makan pulut dengan rendang, papa pula suka makan pulut dengan kari.

Untuk memasak Pulut Kuning Ekspress ini, kita tak perlu susah-susah rendam pulut semalaman. Kalau ikut cara ini, kita hanya perlu rendam pulut sekejap sahaja; cuma 20 minit.

Mari kita tengok cara-cara memasak Pulut Kuning Ekspress.

Pulut Kuning Ekspress

Bahan-bahan

Beras pulut
Serbuk kunyit
Asam keping
Daun pandan
Sedikit santan pekat
Sedikit garam

Cara-cara Memasak Pulut Kuning Ekspress

1. Rendam beras pulut bersama sedikit serbuk kunyit dan sekeping asam keping selama 20 minit.



2. Selepas 20 minit, buang air rendaman dan asam keping. Cuci lebihan serbuk kunyit pada pulut dengan air dan toskan.

3. Masukkan beras pulut ke dalam periuk Pressure Cooker Noxxa bersama sekeping daun pandan.

4. Masukkan air ke dalam periuk tadi sehingga paras beras pulut sahaja. Jangan lebih atau kurang.

(maaf, gambar tak berapa nak jelas)

5. Setkan periuk pressure cooker Noxxa kepada high pressure 2 minit. Jangan lupa untuk pusingkan tombol pressure valve atas penutup periuk kepada tanda Pressure.

6. Selepas Periuk Pressure Cooker berbunyi tanda beras pulut telah masak, pusingkan tombol pressure valve atas penutup periuk untuk mengeluarkan angin pressure. Setelah habis semua angin pressure keluar, barulah buka penutup periuk.




7. Kacau pulut tadi dan tuangkan santan yang telah dicampur dengan sedikit garam dan kacau rata.
*(Tutup semula tudung periuk dan biarkan seketika periuk yang masih ON untuk masakkan santan tadi.)


* Selepas memasak pulut beberapa kali menggunakan periuk noxxa, Saya dapati teknik baru supaya pulut lebih kembang dan masak cantik.

*Cara Altenatif untuk langkah ke-7. Selepas masukkan santan, tekan butang off dan kacau pulut. Tunggu sebentar supaya periuk tidak terlalu panas dan penutup boleh ditutup. Tutup tudung periuk dan tukarkan tombol ke STEAM. Set kan periuk Noxxa STEAM 2 minit. Pusingkan tombol pressure valve untuk mengeluarkan angin pressure. Buka penutup dan kacau rata.


8. Setkan meja. Panggil papa dan anak-anak. Pulut kuning sedia untuk dinikmati. 

Selamat mencuba!

**Saya juga ada mengambil tempahan Cover Noxxa Pressure Cooker ini. Boleh buat tempahan di fb page Jahitbynadia. Sila Klik (DISINI)